Wednesday, November 23, 2011

Kelebihan berzikir dari sudut sains





Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna.
 
Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari empat belas juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan enam belas juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dapat dikenal pasti melalui kaedah electroencephalography (EEG).

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah S.W.T seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat daripada perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir otak tidak sebegini. Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Orang yang berzikir kepada Allah S.W.T ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering.”

Oleh itu saudara-saudaraku seislam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita sudahpun lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang rendah kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Sunday, November 13, 2011

Berniaga cara Rasullulah


Berniaga Cara Rasulullah

Seperti kita ketahui bahawa Nabi Muhammad SAW selain seorang nabi dan rasul, seorang pemimpin negara, seorang panglima perang, beliau juga seorang usahawan yang berjaya di zamannya… beliau telah berniaga dari kanak-kanak lagi iaitu berumur 12 tahun sewaktu mengikut pak cik Baginda untuk ke syam berniaga (Anak muda sekarang boleh mengikuti sunah rasul ini iaitu entrepreneur).
Di dalam berniaga Nabi Muhammad mempunyai 4 tips yang selain mendapatkan keuntungan besar juga mendapatkan keberkatan dari Allah.
1. Jujur adalah Brand
Semasa berniaga Nabi Muhammad SAW,anak muda yang dikenali dengan jolokan Al Amin (yang terpercaya). Sikap ini tercermin semasa dia berhubung dengan customer dan pembekalnya.
Nabi Muhammad SAW mengambil stok barang dari Khadijah, konglomerat kaya yang akhirnya menjadi iestri Baginda. Dia sangat jujur terhadap Khadijah. Dia pun jujur kepada pelanggan. Semasa memasarkan barangnya dia menjelaskan semua keunggulan dan kelemahan barang yang dijualnya. Kejujuran boleh dianggap, KEJUJURAN adalah brand Rasulullah SAW.
2. Mencintai Customer
Dalam berniaga Rasulullah sangat mencintai customer seperti dia mencintai dirinya sendiri. Itu sebabnya dia melayani pelanggan dengan sepenuh hati. Bahkan, dia tidak rela pelanggan tertipu semasa membeli.
Sikap ini mengingatkan pada hadis yang beliau sampaikan,
“Belum beriman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri.”
3. Memenuhi Janji
Nabi sejak dulu selalu berusaha memenuhi janji-janjinya.
Firman Allah,
“Wahai orang-orang yang beriman penuhi janjimu.” (Surah Al Maidah 3).
Dalam dunia pemasaran, ini bererti Rasulullah selalu memberikan value produknya seperti yang diiklankan atau dijanjikan.
Pernah suatu ketika Rasulullah marah ketika ada peniaga yang mengurangkan timbangan. Nabi ibarat menjamin customer satisfaction (kepuasan pelanggan).
4. Segmen jualan ala Nabi
Semasa menjual barang dia selalu menunjukkan bahawa barang ini bagus kerana ini.., dan barang ini kurang bagus, tapi harganya murah.
Nabi pernah marah ketika melihat peniaga menyembunyikan jagung basah di celah-celah jagung kering.
Pelajaran dari kisah itu adalah bahawa Nabi selalu mengajar kepada kita agar memberikan good value untuk barang yang dijual. Sekaligus Rasulullah mengajar membuat segman: barang bagus dijual dengan harga bagus dan barang dengan kualiti lebih rendah dijual dengan harga yang lebih rendah.
Contohnya anda adalah dilarang meletakkan barangan tak ori dengan harga barang ori.
Kepada pembaca isuhangat yang berniaga tidak kira berniaga apa pun, part time atau full time. Semoga apa yang diajarkan Baginda Rasul SAW ini boleh kita terapkan dalam bisnis kita dan dapat memberi inspirasi kepada korang…amin…
Posted @ www.isuhangat.net.

kisah pemuda yang berbakti kepada orangtua nya


         Kawan- kawan pernah dengar tentang ibu bapa mampu membela sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu lagi dapat membela ibu bapa mereka,lagi-lagi zaman sekarang nih, sampai kadang-kadang orang tua mereka diherdik, dihina, di caci, dan mereka cuma berbuat baik masa ada kebaikan contohnya masa nak bahagian pusaka, dan sebagainya... jom kita layan kisah teladan di zaman Nabi Sulaiman nih

        Nabi Sulaiman adalah anak kepada Nabi Daud A.S. Sejak kecil lagi Nabi Sulaiman sudah pandai memberi pendapat yang adil dalam satu-satu hal. Setelah wafatnya Nabi Daud, Nabi Sulaiman membesarkan kerajaan di bawah pimpinannya. Pada suatu hari, Nabi Sulaiman mengadakan perjalanan bersama rombongannya yang terdiri daripada manusia dan jin. Tujuannya adalah untuk melihat kebesaran Allah S.W.T.
       Perjalanan mereka pun tiba di tepi laut, tiba-tiba Nabi Sulaiman terpandang suatu benda yang menakjubkan di dalam laut. Dia memerintahkan pada jin Ifrit, “Wahai Ifrit, cuba kamu lihat ke dalam laut, ada suatu benda yang menakjubkan aku, oleh itu kamu bawakan ia kemari”. Jin Ifrit yang sememangnya gagah tak banyak bercakap kerana takut akan murka Nabi Sulaiman dan terus menyelam ke dasar laut, namun dia tidak berjumpa apa-apa.
          Kemudian Nabi Sulaiman menyuruh jin yang lain menyelam untuk mendapatkan benda terbabit, namun malangnya jin tersebut pun gagal berbuat demikian. Akhirnya Nabi Sulaiman pun berkata kepada Ashif bin Barkhiya, yakni orang yang mendapat ilmu terus dari Allah, “Sekarang aku perintahkan kepadamu agar pergi ke laut dan dapatkan benda ajaib yang aku maksudkan”. Ashif bin Barkhiya pun menyelam dan terlihat suatu benda yang menyerupai kubah yang diperbuat dari kapur putih.
             Dengan kekuatan yang luar biasa, Ashif bin Barkhiya membawa naik kubah ajaib tersebut dari dasar laut dan mempersembahkan kepada Nabi Sulaiman. Apabila Nabi Sulaiman melihat kubah itu dan berkata, “Wah, alangkah indahnya benda ini, tapi mengapakah aku tidak dapat melihat isi kandungan dalam benda ini padahal Allah telah memberikan mukjizat yang mana penglihatanku dapat menembusi segala sesuatu”.
               Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah supaya dia dapat melihat isi di dalam kubah berkenaan dan Allah memperkenankan doanya. Sejurus selepas berdoa, maka terbukalah kubah tersebut dan Nabi Sulaiman melihat ada seorang pemuda yang sedang sujud dan bertasbih memuji Allah. Nabi Sulaiman lalu berkata, “Maha suci Allah lagi Maha Besar”. Mendengar seruan Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun bangun dari sujud lalu memberi salam.
           Nabi Sulaiman menjawab salam dan memulakan pertanyaan, “Siapakah kamu wahai pemuda! Adakah kamu malaikat, jin atau pu manusia?” Jawab pemuda itu, “Aku hanyalah seorang manusia biasa”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Apakah yang membuat kamu memperolehi kemuliaan sedemikian rupa? Apakah amal yang pernah engkau kamu lakukan sehingga Allah menurunkan rahmat dan berkah yang tidak ternilai ini kepada kamu?” Pemuda itu berkata, “Saya berbakti kepada kedua ayah dan ibuku”.
             Nabi Sulaiman bertanya lagi, “Bagaimanakah kamu berbakti kepada orang tuamu?” Jawab pemuda itu, “Saya memelihara mereka berdua sehingga mereka lanjut usia. Kedua ayah dan ibuku adalah orang yang soleh, mereka sangat takut dan taat kepada Allah. Sejak saya kecil hingga dewasa, mereka memelihara saya dengan baik sekali, mereka juga selalu mendoakan saya agar saya menjadi seorang yang soleh. Bapa saya meninggal dunia dalam usia lanjut dalam pemeliharaan saya dan yang tinggal hanya ibu saya yang sudah tua, lemah dan sakit serta matanya buta dan kakinya lumpuh”.
        Sambung pemuda itu lagi, “Saya satu-satunya orang yang merawat dan menguruskan keperluannya. Saya selalu mengangkatnya untuk mandi dan saya memandikannya. Segala urusan makan dan minum saya uruskan dan saylah yang menyuap makanan padanya. Ibu saya selalu mendoakan supaya saya dikurniakan ketenangan dan kepuasan dalam hidup serta memberikan saya setelah wafatnya sebuah tempat yang bukan di dunia atau pun di langit. Setelah ibu saya wafat, saya berjalan-jalan di tepi laut dan saya lihat ada suatu kubah dari mutiara. Saya mendekati kubat tersebut dan pintu kubah terbuka. Apabila saya masuk ke dalam, pintu kubah ini tertutup, maka tidaklah saya ketahui sama ada saya berada di bumi atau langit”.
         Nabi Sulaiman bertanya, “Kamu hidup di zaman mana?” Pemuda itu menjawab, “Saya hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S”. Nabi Sulaiman mengirakan umur pemuda tersebut dan dalam kiraannya umur pemuda itu telah mencapai 14,000 tahun, tetapi tiada satu uban pun pada rambutnya. Nabi Sulaiman lalu bertanya, “Apakah tuan merasakan nikmat Allah? Bagaimana Allah memberikan rezeki padamu dalam kubah ini?” Pemuda itu berkata, “Setelah saya berada di dalam kubah ini, maka tahulah saya bahawa Allah telah menciptakan syurga khusus buat saya”.
         Nabi Sulaiman teringin sangat melihat syurga yang pemuda itu katakan. Kemudian pemuda itu pun berdoa kepada Allah lalu susana di dalam kubah yang gelap tiba-tiba bertukar menjadi terang-benderang. Terkejut Nabi Sulaiman sambil berkata, “Maha suci Allah seru sekian alam”. Satu pemandangan yang tak ada di dunia ini terpampang di hadapan Nabi Sulaiman dan rombongannya di mana terdapat pokok-pokok, kebun yang indah, kolam air susu dan madu serta suara-suara yang merdu di dalamnya.
       Pemuda itu berkata, “Jika saya lapar, saya makan bermacam-macam buah-buahan yang pelbagai macam cita rasa, semua makanan yang saya ingin akan tersedia dan kalau saya haus, akan tersedia pula bermacam-macam jenis minuman yang paling lazat”. Nabi Sulaiman bertanya lagi, “bagaimana kamu dapat mengetahui siang atau malam?” Jawab pemuda itu, “Apabila terbit fajar maka kubah ini akan menjadi putih dan apabila matahi terbenam kubah ini akan menjadi gelap”. Kata pemuda itu lagi, “Cukuplah, sebab saat ini saya harus mengadap kembali pada Allah untuk solat dan zikir, bertasbih dan mengsucikan serta memuji kebesaranNya”.
        Nabi Sulaiman dan rombongannya segera keluar dari kubah tersebut dan pemuda itu berdoa kepada Allah, lalu tertutuplah kembali kubah itu. Nabi Sulaiman termenung sejenak memikirkan peristiwa yang dilihatnya sebentar tadi dan mengarahkan Ashif bin Barkhiya untuk membawa kubah tersebut kembali ke dalam laut di tempat asalnya. Setelah itu Nabi Sulaiman berkata kepada rombongannya, “Untuk pertama kali aku menjumpai tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, aku bersyukur kepada Allah dan semoga bertambah iman dalam sanubariku. Maha suci Allah dan segala puji bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya dan kekuatan apa pun di dunia ini melainkan dengan kehendak Allah S.W.T”.
Sumber: Himpunan kisah-kisah teladan

Sunday, November 6, 2011

Persoalan tentang aidil adha


Pada 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi meraikan kejayaan sebilangan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah. Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji, lazimnya meraka akan mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung atau rumah terbuka untuk mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam. Selain itu, Hari Raya Aidiladha turut disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu akan disembelih binatang seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadat korban ini bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis berikut (bermaksud):

Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.
(Surah al-Kauthar: Ayat 2)

Nabi SAW telah berkorban dengan menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan bertanduk. Baginda sendiri yang menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah SWT dan bertakbir sambil meletakkan kakinya di atas tengkok kibasy tersebut.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Antara hikmah ibadat korban ialah untuk menghidupkan erti pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim AS ketika Allah SWT memerintahkan Baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS tidak teragak-agak untuk melaksanakan perintah Allah SWT tersebut, tetapi Allah SWT telah menggantikan sembelihan tersebut dengan seekor kibasy. Keimanan dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS ketika melaksanakan perintah Allah SWT ini menjadikan ibadat korban mempunyai hikmah tersendiri untuk dihayati oleh setiap orang Islam.

Selain itu, ibadat korban juga mengandungi pengertian untuk mendidik umat Islam agar mereka tidak melupakan golongan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan setelah Allah SWT berikan rezeki kepada mereka. Ibadat korban turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih-sayang sesama sanak-saudara dan jiran-tetangga yang hadir untuk bersama-sama kita bergotong-royong melaksanakan ibadat korban. Dengan itu akan lahirlah sebuah ikatan persaudaraan Islam yang kuat antara individu dan masyarakat.

Menurut majoriti ulama dan mazhab Shafie, hukum korban adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan. Namun ia boleh menjadi wajib dengan dua sebab: Pertama, apabila seseorang itu mengisyaratkan kepada binatang miliknya yang sesuai untuk dikorbankan seperti menyatakan “ini adalah korbanku” atau “aku akan korbankan binatang ini”. Kedua, apabila seseorang itu bernazar atau mewajibkan dirinya melaksanakan korban untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti menyatakan “wajib bagi aku korban kerana Allah SWT”.

Binatang yang disyariatkan untuk dikorbankan adalah unta, lembu atau kambing. Selain ketiga-tiga binatang ini, tidak sah melakukan korban dengan binatang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT (bermaksud):

Dan bagi setiap umat kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternakan yang telah direzekikan Allah kepada mereka.
(Surah al-Hajj: Ayat 34)

Menurut ulama, perkataan binatang ternakan dalam ayat di atas bermaksud unta, lembu dan kambing. Selain itu, tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan korban selain daripada tiga jenis binatang tersebut. Oleh itu, binatang paling afdhal (terbaik) ialah unta, kemudian lembu atau kerbau dan kemudian kambing.
Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. Maka harus melaksanakan korban dengan mengambil satu bahagian daripada tujuh bahagian itu. Manakala kambing pula tidak boleh dibahagikan seperti unta dan lembu.
Waktu korban bermula selepas terbit matahari Hari Raya Aidiladha iaitu selepas dilaksanakan solat sunat hari raya dan selesai mendengar khutbah. Manakala tempoh mengadakan korban berakhir setelah terbenam matahari pada akhir haritasyrik iaitu 13 Zulhijjah. Sepanjang tempoh tersebut, umat Islam boleh melakukan korban bila-bila masa sahaja, namun korban pada waktu malam kurang digalakkan. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW (bermaksud):
Setiap hari tasyrik adalah sembelihan (waktu korban).
(Riwayat Ibn Hibban)

Sekiranya korban tersebut adalah korban wajib atau nazar, maka tidak harus bagi orang yang melakukan korban dan mereka di bawah jagaannya memakan daging korban tersebut. Jika salah seorang daripada mereka memakan sedikit daging korban itu, daging korban itu hendaklah diganti semula dengan daging lain atau dibayar dengan nilaian daging yang dimakan.

Namun sekiranya korban tersebut adalah korban sunat, maka harus bagi orang yang melakukan korban itu memakan mengikut kadar yang dikehendakinya dengan syarat dia hendaklah bersedekah sedikit daripada daging korban itu. Manakala paling afdhal ialah memakan sedikit sahaja daging korban itu untuk keberkatan dan bakinya yang lain disedekahkan. Oleh itu, harus bagi orang yang melakukan korban itu memakan satu pertiga daripada bahagiannya, satu pertiga lagi disedekahkan kepada fakir miskin dan satu pertiga lagi dihadiahkan kepada sahabat-handai dan jiran-tetangga walaupun mereka orang kaya.

Daging korban yang dihadiahkan kepada orang kaya hanya boleh dimakan dan mereka tidak boleh menjualnya. Manakala daging korban yang diberikan kepada fakir miskin tidak terikat dengan syarat ini. Maka mereka boleh memakan atau menjual daging tersebut mengikut kehendak mereka.

Bagi orang yang melakukan korban, mereka boleh sedekahkan kulit binatang korban itu atau dimanfaatnya untuk dirinya sendiri. Tetapi tidak boleh dijual atau diberikan kepada penyembelih binatang korban itu sebagai upah kepada sembelihannya. Ini kerana perbuatan memberi upah dengan cara sebegitu boleh menyebabkan kekurangan pada binatang korban dan merosakkan ibadat korbannya. Namun jika pemberian tersebut bukan atas dasar upah kerana orang yang melakukan korban telah memberikan wang sebagai upah kepada penyembelih, maka pemberian kulit dan sebagainya lagi tidak menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi penyembelih adalah orang fakir miskin. Ini bertepatan dengan hadis-habis berikut (bermaksud):
Rasulullah SAW telah memerintahkan aku (Ali RA) menyembelih unta-unta Baginda (sembelihan korban ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku sedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada al-Jazzar (penyembelih dan pelapah daging) sedikit pun daripadanya.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya maka tiada korban baginya.
(Riwayat al-Baihaqi)
Manakala antara sunat-sunat ibadat korban seperti; disunatkan tidak menghilangkan bulu dan kuku apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan orang yang melakukan korban menyembelih binatang korbannya sendiri, jika dia tidak mampu maka hendaklah dia hadir menyaksikan sembelihan itu dan disunatkan bagi pemerintah melakukan korban menggunakan harta Baitul Mal bagi pihak orang-orang Islam.

Demikianlah penjelasan ringkas mengenai persoalan yang berkaitan dengan ibadat korban yang akan dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha nanti. Semoga dengan penjelasan ini akan meningkatkan mutu ibadat korban kita berbanding tahun-tahun sebelumnya. InsyaAllah.
Wallahualam.
buluh.iluvislam.com