skip to main |
skip to sidebar

Suami isteri itu hidup tenteram mula-mula. Meskipun melarat, mereka taat kepada
perintah Tuhan. Segala yang dilarang Allah s.w.t. dihindari, dan ibadah mereka
tekun sekali. Si Suami adalah seorang yang alim yang taqwa dan tawakkal. Tetapi
sudah beberapa lama isterinya mengeluh terhadap kemiskinan yang tiada
habis-habisnya itu. Ia memaksa suaminya agar mencari jalan keluar. Ia
membayangkan alangkah senangnya hidup jika segala-galanya serba cukup. Pada
suatu hari, lelaki yang alim itu berangkat ke ibu kota, mahu mencari pekerjaan.
Di tengah perjalanan is melihat sebatang pohon besar yang tengah dikerumuni
orang. Ia mendekat. Ternyata orang-orang itu sedang memuja-muja pohon yang
konon keramat dan sakti itu. Banyak juga kaum wanita dan pedagang-pedagang yang
meminta-minta agar suami mereka setia atau dagangnya laris.
"Ini syirik," fikir lelaki yang alim tadi. "Ini harus dibanteras
habis. Masyarakat tidak boleh dibiarkan menyembah serta meminta selain Allah
s.w.t.." Maka pulanglah dia terburu. Isterinya hairan, mengapa secepat itu
suaminya kembali. Lebih hairan lagi waktu dilihatnya si suami mengambil sebilah
kapak yang diasahnya tajam. Lantas lelaki alim tadi bergegas keluar. Isterinya
bertanya tetapi ia tidak menjawab. Segera dinaiki keldainya dan dipacu
cepat-cepat ke pohon itu. Sebelum sampai di tempat pohon itu berdiri, tiba-tiba
melompat sesusuk tubuh tinggi besar dan hitam. Dia adalah iblis laknatullah
yang menyerupai sebagai manusia.
"Hai, mahu ke mana kamu?" tanya si iblis laknatullah. Orang alim
tersebut menjawab, "Saya mahu menuju ke pohon yang disembah-sembah orang
bagaikan menyembah Allah s.w.t.. Saya sudah berjanji kepada Allah s.w.t. akan
menebang roboh pohon syirik itu." "Kamu tidak ada apa-apa hubungan
dengan pohon itu. Yang penting kamu tidak ikut-ikutan syirik seperti mereka.
Sudah pulang sahaja." "Tidak boleh, kemungkaran mesti dibanteras,"
jawab si alim bersikap tegas.
"Berhenti, jangan teruskan!" bentak iblis laknatullah marah.
"Akan saya teruskan!"
Kerana masing-masing tegas pada pendirian, akhirnya terjadilah perkelahian
antara orang alim tadi dengan iblis laknatullah. Kalau melihat perbezaan badannya,
seharusnya orang alim itu dengan mudah boleh dibinasakan. Namun ternyata iblis
laknatullah menyerah kalah, meminta-minta ampun. Kemudian dengan berdiri
menahan kesakita dia berkata, "Tuan, maafkanlah kekasaran saya. Saya tak
akan berani lagi mengganggu tuan. Sekarang pulanglah. Saya berjanji, setiap
pagi, apabila Tuan selesai menunaikan sembahyang Subuh, di bawah tikar
sembahyang Tuan saya sediakan wang emas empat dinar. Pulang saja berburu,
jangan teruskan niat Tuan itu dulu,"
Mendengar janji iblis laknatullah dengan wang emas empat dinar itu, lunturlah
kekerasan tekad si alim tadi. Ia teringatkan isterinya yang hidup tidak
berkecukupan. Ia teringat akan saban hari rungutan isterinya. Setiap pagi empat
dinar, dalam sebulan sahaja dia sudah boleh menjadi orang kaya. Mengingatkan
desakan-desakan isterinya itu maka pulanglah dia. Patah niatnya semula hendak
membanteras kemungkaran.
Demikianlah, semejak pagi itu isterinya tidak pernah marah lagi. Hari pertama,
ketika si alim selesai sembahyang, dibukanya tikar sembahyangnya. Betul di situ
tergolek empat benda berkilat, empat dinar wang emas. Dia meloncat riang,
isterinya gembira. Begitu juga hari yang kedua. Empat dinar emas. Ketika pada
hari yang ketiga, matahari mulai terbit dan dia membuka tikar sembahyang, masih
didapatinya wang itu. Tapi pada hari keempat dia mulai kecewa. Di bawah tikar
sembahyangnya tidak ada apa-apa lagi keculai tikar pandan yang rapuh. Isterinya
mulai marah kerana wang yang kelmarin sudah dihabiskan sama sekali.
Si alim dengan lesu menjawab, "Jangan khuatir, esok barangkali kita bakal
dapat lapan dinar sekaligus." Keesokkan harinya, harap-harap cemas
suami-isteri itu bangun pagi-pagi. Selesai sembahyang dibuka tikar sejadahnya
kosong. "Kurang ajar. Penipu," teriak si isteri. "Ambil kapak,
tebanglah pohon itu." "Ya, memang dia telah menipuku. Akan aku
habiskan pohon itu semuanya hingga ke ranting dan daun-daunnya," sahut si
alim itu. Maka segera ia mengeluarkan keldainya. Sambil membawa kapak yang
tajam dia memacu keldainya menuju ke arah pohon yang syirik itu. Di tengah
jalan iblis laknatullah yang berbadan tinggi besar tersebut sudah menghalang.
Katanya menyorot tajam, "Mahu ke mana kamu?" herdiknya menggegar.
"Mahu menebang pohon," jawab si alim dengan gagah berani.
"Berhenti, jangan lanjutkan." larang si iblis laknatullah
"Bagaimanapun juga tidak boleh, sebelum pohon itu tumbang." jawab
lelaki itu.
Maka terjadilah kembali perkelahian yang hebat. Tetapi kali ini bukan iblis
laknatullah yang kalah, tapi si alim yang terkulai. Dalam kesakitan, si alim
tadi bertanya penuh hairan, "Dengan kekuatan apa engkau dapat mengalahkan
saya, padahal dulu engkau tidak berdaya sama sekali?" Iblis laknatullah
itu dengan angkuh menjawab, "Tentu sahaja engkau dahulu boleh menang,
kerana waktu itu engkau keluar rumah untuk Allah, demi Allah. Andaikata
kukumpulkan seluruh belantaraku menyerangmu sekalipun, aku takkan mampu
mengalahkanmu. Sekarang kamu keluar dari rumah hanya kerana tidak ada wang di
bawah tikar sejadahmu. Maka biarpun kau keluarkan seluruh kebolehanmu, tidak
mungkin kamu mampun menjatuhkan aku. Pulang saja. Kalau tidak, kupatahkan nanti
batang lehermu."
Mendengar penjelasan iblis laknatullah ini si alim tadi termangu-mangu. Ia
merasa bersalah, dan niatnya memang sudah tidak ikhlas kerana Allah s.w.t.
lagi. Dengan terhuyung-hayang ia pulang ke rumahnya. Dibatalkan niat semula
untuk menebang pohon itu. Ia sedar bahawa perjuangannya yang sekarang adalah
tanpa keikhlasan kerana Allah s.w.t., dan ia sedar perjuangan yang semacam itu
tidak akan menghasilkan apa-apa selain dari kesiaan yang berlanjutan. Sebab
tujuannya adalah kerana harta benda, mengatasi keutamaan Allah s.w.t. dan
agama. Bukankah bererti ia menyalahgunakan agama untuk kepentingan hawa nafsu
semata-mata ?
"Barangsiapa di antaramu melihat sesuatu kemungkaran, hendaklah (berusaha)
memperbaikinya dengan tangannya (kekuasaan), bila tidak mungkin hendaklah
berusaha memperbaikinya dengan lidahnya (nasihat), bila tidak mungkin pula,
hendaklah mengingkari dengan hatinya (tinggalkan). Itulah selemah-lemah
iman."
Hadith Riwayat Muslim
0 comments:
Post a Comment