Thursday, May 9, 2013

Takut kepada Allah




Takut kepada Allah adalah salah satu sifat mahmudah yang dituntut dan merupakan sifat orang-orang yang beriman. Seseorang yang sudah terbiasa melakukan maksiat akan menyebabkan hatinya mati dan dia tidak berasa salah melakukan dosa. Untuk menjadikan diri kita takut kepada Allah hendaklah ada ilmu yang mendorong kepada amal. 



Firman Allah SWT : 


35:28
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (Surah Fathir [35] : 28) 


Firman-Nya lagi: 


3:175

Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, Tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran [3] : 175) 
Dalam bahasa al-Quran takut ditakrifkan sebagai keinginan hati untuk menghindarkan diri daripada tertimpa sesuatu yang tidak diingini. Manusia pastinya takut dapat kesengsaraan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat, takut tertolak doa, takut amal tak diterima dan sebagainya. Takut pada tahap ini pun sudah memadai jika ada terdetik dalam hati setiap orang mukmin. Namun keinginan sahaja tidak memadai, hati kenalah digerakkan supaya berusaha mencari jalan bagaimana nak pastikan terelak daripada apa yang tak diingini itu. Jika takut mendapat kesengsaraan di dunia elaklah, contoh; jika takut kemalangan maka berhati-hatilah, pandulah dengan cermat, takut masuk neraka kenalah hindarkan daripada membuat apa yang Allah tak suka. 

5:28
"Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam; (Surah al-Maaidah [5] : 28)
Ayat Al-Maaidah di atas menerangkan tentang dua orang anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil yang salah seorang ingin membunuh yang lainnya. Seorang yang ingin dibunuh tak melawan itu berkata dia takut kepada Allah. Ini kerana membunuh adalah dosa besar bila tak dapat pengampunan Allah. Dalam kisah cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf; Nabi Yusuf pun berkata dia takut akan Allah bila Zulaikha menggodanya.


Jika tidak mempunyai rasa takut, sudah tentu seseorang mudah melakukan segala larangan Allah dan sukar melaksanakan perintah-Nya. Orang yang tidak takut Allah di dunia akan menjadikan dirinya takut di akhirat kelak, manakala orang yang takut kepada Allah di dunia akan menghilangkan perasaan takut di akhirat. 


Salah satu manfaat yang diperoleh seseorang hamba jika dia takut kepada Allah ialah membuatkan hamba berada di bawah naungan Arasy pada Hari Kiamat kelak. 

Diriwayatkan al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata: Sesungguhnya aku takut akan Allah.” 

Makna zahir hadis menunjukkan lelaki itu mengungkapkan bahasa lisan supaya wanita yang mengajaknya melakukan maksiat, menghentikan perbuatannya sekali gus mengingatkan dirinya untuk tetap menolak dan tidak berganjak sedikit pun daripada prinsipnya. Disebutkan lagi dalam hadis yang bermaksud: “Dan lelaki yang berzikir mengingati Allah bersendirian, lalu berlinanganlah air matanya.” 

Rasa takut terhadap Allah SWT menyebabkan lelaki itu menangis, membuatkan matanya tidak tersentuh oleh api neraka pada hari kiamat kelak. Selain itu, takutkan Allah SWT akan mendatangkan keampunan daripada-Nya. 

Bukti atas kebenaran ini berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari yang menceritakan perihal seorang lelaki dalam kalangan orang sebelum kita. Dia seorang yang sangat jahil dalam masalah agama tetapi Allah memberinya rezeki berupa harta yang banyak. Ketika lelaki itu mendekati ajal, dia bertanya kepada anaknya: “Hai anak-anakku! Bagaimanakah menurut pendapat kamu keberadaanku bagi kamu semua? Mereka menjawab: Engkau adalah ayah yang paling baik. Lelaki itu berkata: Sesungguhnya aku belum pernah melakukan amal kebaikan sama sekali. Oleh itu, apabila aku mati bakarlah jenazahku, kemudian lumatlah arangku sehingga menjadi abu, lalu taburkanlah pada hari yang ada angin besar. Seterusnya, anak-anaknya melakukan apa yang dipesan oleh ayah mereka. 

Padahal bagi Allah amat mudah untuk mengembalikannya seperti semula. Lalu Allah SWT bertanya: “Apakah yang mendorongmu berbuat demikian? Dia menjawab: Kerana takut akan-Mu. Akhirnya Allah merahmatinya dan memaafkan kejahilannya. 

Ternyata rasa takutnya yang amat sangat kepada Allah dapat menolongnya. Dia dikatakan sedemikian kerana dia masih termasuk dalam kalangan orang yang mempercayai hari pembalasan. Seandainya dia mengingkarinya bererti dia adalah orang kafir dan tentu dia tidak akan beroleh keampunan daripada-Nya. 

Orang yang takut kepada Allah dapat memasukkan pelakunya ke dalam syurga kerana Nabi SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang takut tentulah dia berangkat sejak permulaan malam. Sesiapa yang berangkat pada permulaan malam, pasti akan sampai ke tempatnya. Ingatlah, sesungguhnya barang dagangan Allah itu mahal. Ingatlah sesungguhnya barang dagangan Allah itu ialah syurga.” 

Ertinya, sesiapa yang takut diserang musuh pada penghujung malam tentu dia akan berangkat sejak permulaan malam sehingga sampai ke tempat dengan aman dan tercapai tujuannya. 

Ungkapan ini adalah perbandingan dibuat oleh Rasulullah SAW untuk orang yang menempuh jalan akhirat. Sesungguhnya syaitan menghalang di tengah jalan berserta nafsu yang sentiasa memerintahkan kepada keburukan dan angan-angan kosong. 

Jika seseorang sentiasa berwaspada dalam perjalanannya dan berniat tulus dalam beramal, pasti akan aman daripada gangguan syaitan, tipu muslihatnya serta terhindar daripada rompakan di tengah jalan. Inilah barang dagangan Allah. 

Sesiapa yang menerimanya, pasti akan termasuk kalangan orang yang beroleh keamanan. Takut yang disuruh ialah takut yang boleh mendorong pelakunya untuk mengerjakan perbuatan diwajibkan oleh Allah SWT di samping melakukan perkara disunatkan serta mendorong meninggalkan perkara diharamkan, syubahat dan makruh. 


32:16
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.(Surah as-Sajdah [32] : 16)
Di dalam al-Quran ada pelbagai kalimah yang Allah gunakan untuk menerangkan tentang takut, boleh baca di sini. Mudah-mudahan memberikan manfaat.

0 comments:

Post a Comment