Wednesday, October 30, 2013

Hukum Hudud


Hukum Hudud telah sekian lama dipropagandakan oleh media-media barat dan musuh-musuh Islam agar masyarakat melihatnya sebagai ganas dan tidak sesuai diamalkan dalam zaman yang serba moden ini. Sedangkan Hukum Hudud dan undang-undang Islam lain yang Allah perintahkan dalam AlQuran untuk dilaksanakan adalah relevan sepanjang zaman hinggalah ke Hari Kiamat, dan ianya WAJIB untuk dilaksanakan.

Hudud ialah satu cabang dari undang-undang jenayah Islam. Di dalam perundangan jenayah Islam terdapat tiga jenis hukuman iaitu Hudud, Qisas dan Ta'zir.

Hudud ialah kesalahan jenayah yang melanggar hak-hak Allah iaitu melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah dan hukumannya adalah berdasarkan kepada nas, sama ada melalui AlQuran atau AlHadits. Ia meliputi keperluan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.


تِلْكَ حُدُودُاللّهِ وَمَن يُطِعِ اللّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُخَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُالْعَظِيمُ


"Itu adalah Hudud (had-had) dari Allah,  barangsiapa ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar."  (Surah An-Nisaa' : Ayat 13)

“Dan hendaklah kamu menghukum (memerintah) di kalangan mereka itu dengan apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kamu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka itu.” (Surah al-Maidah : Ayat 49)


أَقِيمُوا حُدُودَ اللَّهِ فِي الْقَرِيبِ وَالْبَعِيدِ وَلَا تَأْخُذْكُمْ فِي اللَّهِ لَوْمَةُ لَائِمٍ

“Tegakkanlah hudud Allah pada kerabat dan lainnya, dan janganlah kecaman orang yang suka mencela mempengaruhi kamu dalam (menegakkan hukum-hukum) Allah.” (Hadis Hasan: Sahih Ibnu Majah No. 2058 dan Ibnu Majah No. 2540)

".......Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri “. (Hadith Riwayat Ibnu Majah)


Kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan Hukum Hudud

Hukum-hukum yang terletak di bawah kategori Hudud ini yang telah disepakati ulama secara Ijmak (consensus) adalah 6 jenis iaitu kesalahan Murtad (keluar dari agama Islam), berzina, mencuri (sariqah), rompakan bersenjata (hirabah), minum arak (syurb) dan menuduh seseorang berzina tanpa saksi (Qazaf). Walaubagaimana pun, Imam Syafie turut memasukkan kesalahan meninggalkan solat (sembahyang) dan menderhaka kepada kerajaan Islam yang berpandukan kepada AlQuran dan AsSunnah sebagai kesalahan di bawah undang-undang Hudud (pemerintah yang menjalankan syariat Islam dan hukum-hukum Islam).

Kesalahan pertama iaitu Murtad (keluar dari agama Islam) yang membawa kepada hukuman mati setelah diberi peluang bertaubat beberapa hari. Sumber hukumnya adalah dari sabda Nabi S.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah dia." (Hadith Riwayat Bukhari dan Abu Daud)

Kesalahan kedua ialah berzina , iaitu persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri. Hukumannya jika sabit kesalahan terbahagi kepada dua iaitu, bagi mereka yang telah berkahwin dengan perkahwinan yang sah, jika didapati berzina maka hukumnya ialah rejam sampai mati. Sumber hukumnya ialah firman Allah yang telah dimansuhkan bacaan tetapi diteruskan hukumnya iaitu, "Orang yang berkahwin lelaki dan perempuan apabila berzina maka rejamlah kedua-duanya."

Dari hadits ialah sabda Nabi S.a.w yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, "Dari Imran b Husin, seorang perempuan dari Kabilah Jahinah datang mengadap Rasulullah S.a.w dalam keadaan mengandung akibat perbuatan zina lalu berkata, "Wahai nabi Allah, saya telah mengenai hukuman had, maka jalankanlah ke atas saya." Lalu Rasulullah S.a.w memanggil walinya sambil bersabda, "Berlaku baiklah kepadanya, apabila dia telah melahirkan anaknya, bawalah dia kepadaku." Lalu walinya melakukan apa yang diperintah. (Setelah sampai tempoh) maka diperintah supaya diperkemaskan pakaiannya kemudian diperintah supaya direjam. Kemudian Rasulullah s.a.w menyembahyangkan jenazahnya.

Berkatalah Umar r.a, "Adakah engkau telah menyembahyangkannya wahai Rasulullah padahal dia telah berzina?" Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya dia telah bertaubat, sekiranya dibahagikan taubatnya di kalangan tujuh puluh orang penduduk Madinah, nescaya luas untuk mereka. Adakah kamu sendiri mendapati lebih baik dia bersikap baik kepada Allah dengan menyerah dirinya kerana Allah?"

Sementara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin (Ghairul Muhson) maka hukumnya disebat sebanyak 100 kali dan dibuang negeri selama setahun. Ia berdasarkan ayat AlQuran yang bermaksud, "Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman." (Surah An-Nuur : Ayat 2)

Kita lihat dalam ayat di atas menyebut orang berzina perempuan terlebih dahulu. Ini kerana orang perempuan lah yang biasanya menjadi punca utama dalam berlaku gejala zina, dengan mereka memakai pakaian seksi yang memberahikan kaum lelaki, tidak menutup aurat, bersolek, memakai bau-bauan yang sangat wangi yang boleh menarik kaum lelaki dan seumpamanya.

Adapun dalil dari hadith iaitu sabda nabi s.a.w yang bermaksud, "Ambillah kamu daripadaku, ambillah kamu daripadaku, sesungguhnya Allah telah mengadakan jalan keluar bagi mereka, penzina teruna dengan dara disebat 100 kali rotan dan dibuang negeri setahun ......." (Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Kesalahan ketiga ialah mencuri (sariqah), yang dihukum potong tangan kepada pelakunya. Hukuman ini berdasarkan kepada ayat AlQuran yang bermaksud, "Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan dari apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah, dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Al-Maidah : Ayat 38 - 39)

Kita lihat ayat di atas bermula dengan menyebutkan orang lelaki yang mencuri. Ini kerana kebiasaannya orang lelaki yang mencuri.

Dari hadith ialah peristiwa masyhur penolakan Nabi s.a.w ke atas permintaan Usamah bin Zaid yang meminta belas supaya tidak dipotong tangan pencuri perempuan yang berketurunan bangsawan (terhormat).

Sabda Nabi s.a.w, "Adakah engkau meminta syafaat dalam perkara Hudud Allah?" Kemudian Rasulullah s.a.w bangun berucap, "Wahai manusia, sesungguhnya orang-orang terdahulu dari kamu binasa kerana tindakan mereka, apabila orang bangsawan mencuri mereka biarkan, dan apabila orang yang lemah mencuri mereka jatuhkan hukuman had. Demi Allah, sekiranya anakku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan potong tangannya." (Hadith Muttafaq alaih)

Kesalahan keempat ialah rompakan bersenjata (hirabah). Hukumannya dijelaskan dalam AlQuran yang bermaksud, "Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh siksaan yang besar, kecuali orang-orang yang taubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka; maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."(Surah Al-Maidah : Ayat 33 - 34)

Dalam menjelaskan hukum hirabah ini, Imam Syafie menjelaskan, jika pelakunya hanya menimbulkan ketakutan di jalanan tanpa merompak dan membunuh, maka hukumannya dibuang negeri. Jika merompak harta dan tidak membunuh, maka hukumannya ialah dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang. Jika mereka membunuh tanpa merampas harta maka hukumannya ialah dibunuh tanpa disalib. Adapun jika mereka merompak dan membunuh, maka dihukum bunuh dan disalib pada pelakunya.

Kesalahan kelima ialah meminum arak (syurb) atau sebarang minuman dan makanan yang memabukkan. Hukumannya ialah 40 kali rotan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Pada zaman Umar r.a menjadi khalifah (pemimpin), beliau telah menambah hukuman takzir sebanyak 40 kali rotan lagi, menjadikannya 80 kali rotan bagi mereka yang meminum arak.

Kesalahan keenam ialah menuduh seseorang berzina tanpa saksi(Qazaf). Hukumnya ditetapkan dalam AlQuran dengan ayat yang bermaksud, "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya, dan mereka itulah orang-orang yang fasik. Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Suran An-Nuur : Ayat 4 - 5)


Undang-undang jenayah Islam selain dari Hudud

Selain itu, hukum jenayah Islam juga diwakili oleh Hukum Qisas, iaitu pembalasan balik yang saksama. Contohnya, jika suatu pembunuhan berlaku, maka ahli keluarga si mati berhak menuntut pembalasan hukuman mati kepada pembunuh, dan sebagainya lagi.

Dan yang terakhir ialah Hukum Ta'zir iaitu hukuman selain Hudud dan Qisas yang terletak di bawah budi bicara pemerintah dan pentadbiran undang-undang sesebuah negara Islam.

Forum Perdana - Relevankah Hudud di Malaysia?

Sebagai renungan bersama

Islam bukan diturunkan untuk menghukum semata-mata tetapi lebih kepada mahu mendidik ke arah kebaikan dan mencegah perkara buruk dari berlaku.  Allah Ta'ala yang mencipta makhluk, maka Dia lah yang lebih mengetahui apa undang-undang yang terbaik untuk hamba-hambaNya.  Kerana itulah Dia telah mencipta undang-undang yang terbaik untuk manusia (seperti yang termaktub dalam AlQuran dan AlHadith), tetapi manusia sendiri yang angkuh tidak mahu menerimanya, na'uzubillah.

Rasulullah saw bersabda, "Tiga golongan yang mana Allah tidak bercakap dengan mereka pada hari Kiamat, mereka juga tidak dimuliakan dan mereka tidak dipandang dengan penilaian rahmat dan untuk mereka disediakan dengan azab yang pedih, iaitu Orang tua yang berzina, Pemimpin atau pemerintah yang pendusta dan Orang fakir yang sombong." (Hadith Riwayat Muslim)




Rujukan:

1 - Penjelasan Hukum Hudud - Majalah Hidayah, Jun 2000.

2 - Jabatan Mufti Negeri Melaka

0 comments:

Post a Comment