skip to main  |
      skip to sidebar

 
 Soalan Pertama
 
 “Pada zaman bilakah Tuhan kamu dilahirkan?”
 
 Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :
 
 “Allah taala tidaklah sesuatu yang dilahirkan. Jika Dia dilahirkan 
sudah tentu Dia punya bapa, Allah juga tidak melahirkan. Jika Dia 
melahirkan maka sudah tentu Dia punya anak”
 
 Soalan Kedua
 
 “ Kalau begitu, bilakah pula Tuhan kamu wujud?”
 
 Al-Imam Abu Hanifah seraya menjawab :
 
 “ Allah taala itu wujud sebelum adanya zaman, Sedangkan zaman itu 
sendiri adalah ciptaanNya , mana mungkin pencipta wujud selepas makhluk 
ciptaanNya”
 
 Soalan Ketiga
 
 “ Cuba kamu berikan kepada 
kami sedikit gambaran tentang kewujudan Tuhan kamu yang tiada permulaan 
ini. Bagaimana mungkin sesuatu itu ada tanpa ada permulaannya?"
 
 Al-Imam Abu Hanifah menjawab :
 
 “ Kamu pandai mengira?”
 
 Kelompok Atheis itu menjawab :
 
 “ Tentu sekali kami pandai mengira”
 
 Al-Imam Abu Hanifah meneruskan ucapannya:
 
 “Bolehkah kamu beritahu aku apakah nombor sebelum nombor 4?”
 
 Mereka menjawab : “ Nombor 3”
 
 Al-Imam Hanifah : “ Nombor sebelum 3?”
 
 Mereka menjawab : “Nombor 2”
 
 Al-Imam Abu Hanifah : “Nombor sebelum 2?”
 
 Mereka menjawab : “Nombor 1”
 
 Al-Imam Abu Hanifah : “ Nombor sebelum 1?”
 
 Mereka menjawab : “Tiada”
 
 Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu memberikan penerangan :
 
 “Nah, kamu sendiri mengakui bahawa nombor 1 sendiri sebelumnya tiada 
mulanya. Nombor yang merupakan ciptaan Allah ini sendiri kamu akui 
bahawa tiada permulaan baginya. Apatah lagi pencipta kepada Nombor itu 
sendiri?”
 
 Terpinga-pinga kelompok Atheis tersebut dengan 
jawapan yang padat dan bernas daripada al-Imam Hanifah. Ternyata mereka 
silap perkiraan bilamana berhadapan dengan anak muda ini. Pada mulanya 
mereka merasakan bahawa anak muda ini mudah dikalahkan, namun telahan 
mereka ternyata menyeleweng. Mereka perlu lebih berhati-hati.
 
 Persoalan diteruskan.
 
 Soalan Keempat
 
 “Tahniah anak muda di atas jawapanmu sebentar tadi. Jangan sangka kamu 
berada di dalam keadaan yang selesa. Baik, tolong kamu terangkan kepada 
kami, pada bahagian manakah Tuhan kamu mengadap?”
 
 Al-Imam Abu 
Hanifah : “ Jika aku bawa sebuah pelita yang dicucuh dengan api ke 
sebuah tempat yang gelap, pada arah manakah cahaya pada api tersebut 
mengadap?”
 
 Mereka menjawab : “ Cahaya itu tentulah akan menerangi keseluruhan arah”
 
 Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “ Jika cahaya yang diciptakannya itu pun
 kamu semua tidak mampu menerangkan pada arah manakah ia mengadap, 
inikan pula Sang Pemilik cahaya langit dan bumi ini sendiri?”
 
 
Kesemua hadirin yang mendengar jawapan daripada al-Imam Abu Hanifah 
bersorak kegembiraan . Kagum mereka dengan kepetahan anak muda itu.
 
 Soalan Kelima
 
 “Bolehkah kamu terangkan kepada kami, bagaimana zat Tuhan kamu? Adakah 
ianya keras seperti besi? Atau jenis yang mengalir lembut seperti air? 
Atau ianya jenis seperti debu dan asap?"
 
 Al-Imam sekali lagi 
tersenyum. Beliau menarik nafas panjang lalu menghelanya perlahan-lahan.
 Lucu sekali mendengar persoalan kelompok Atheis ini. Orang ramai 
tertunggu-tunggu penuh debaran apakah jawapan yang akan diberikan oleh 
Sang Anak Muda.
 
 Al-Imam Abu Hanifah menjawab : “Kamu semua tentu pernah duduk disebelah orang yang sakit hampir mati bukan?”
 
 Mereka menjawab : “ Tentu sekali”
 
 Al-Imam meneruskan : “ Bilamana orang sakit tadi mati. Bolehkah kamu bercakap dengannya?”
 
 Mereka menjawab : “ Bagaimana mungkin kami bercakap dengan seseorang yang telah mati?”
 
 Al-Imam meneruskan : “ Sebelum dia mati kamu boleh bercakap-cakap 
dengannya , namun selepas dia mati, terus jasadnya tidak bergerak dan 
tidak boleh bercakap lagi. Apa yang terjadi sebenarnya?”
 
 Mereka
 tertawa lalu memberikan jawapan: “ Adakah soalan seperti ini kamu 
tanyakan kepada kami wahai anak muda? Tentu sekali seseorang yang mati 
itu tidak boleh bercakap dan bergerak . Ini kerana ruhnya telah terpisah
 daripada jasadnya.”
 
 Al-Imam Abu Hanifah tersenyum mendengar 
jawapan mereka lalu berkata: “Baik, kamu mengatakan bahawa ruhnya telah 
terpisah daripada jasadnya bukan? Bolehkah kamu sifatkan kepada aku 
sekarang, bagaimanakah bentuk ruh tersebut. Adakah ianya keras seperti 
besi, atau ianya mengalir lembut seperti air atau ianya seperti asap dan
 debu yang berterbangan?”
 
 Tertunduk kesemua Atheis tersebut 
bilamana mendengar persoalan al-Imam Abu Hanifah tersebut. Ternyata 
olokan mereka sebentar tadi kembali tertimpa ke atas mereka.
 
 Mereka menjawab dengan keadaan penuh malu : “ Maaf, tentu sekali kami tidak dapat mengetahui bagaimana bentuknya”
 
 Al-Imam Abu Hanifah lalu meneruskan bicaranya: “ Jika makhluknya 
seperti ruh itu pun kamu tidak mampu untuk menerangkannya kepada aku. 
Bagaimana mungkin kamu ingin menyuruh aku menerangkan bagaimana bentuk 
Tuhan Pemilik Ruh serta sekalian alam ini?”
 
 Soalan Keenam
 
 “ Dimanakah Tuhan kamu duduk sekarang?”
 
 Al-Imam Abu Hanifah kembali bertanyakan soalan kepada mereka : “ Jika 
kamu membancuh susu, tentu sekali kamu mengetahui bahawa di dalam susu 
tersebut ada terdapat lemak bukan? Bolehkah kamu terangkan kepada saya, 
dimanakah tempatnya lemak tersebut berada?"
 
 Mereka menjawab : “
 Kami tidak dapat menerangkan kepadamu dengan tepat kedudukan lemak di 
dalam susu tersebut. Ini kerana lemak itu mengambil keseluruhan bahagian
 susu tersebut.”
 
 Al-Imam Abu Hanifah seraya berkata : “ Kamu 
sendiri lemah di dalam memberikan jawapan terhadap persoalan aku 
sebentar tadi. Jika lemak di dalam susu pun tiada tempat yang khusus 
baginya , masakan pula kamu ingin mengatakan bahawa Tuhan Pemilik Arasy 
itu ada tempat duduk khusus bagiNya? Sungguh aku pelik dengan 
persoalan-persoalan kamu ini”
 
 Soalan Ketujuh
 
 “ Kami 
pelik bagaimana jika masuk ke dalam syurga ada permulaannya ( iaitu 
selepas dihisab oleh Allah taala di padang Mahsyar) namun bilamana sudah
 berada di dalamnya maka tiada lagi pengakhirannya ( maksudnya tiada 
kesudahannya dan akan selama-lamanya di dalam syurga)??”
 
 
Al-Imam Abu Hanifah tersenyum lagi lalu menjawab : “ Mengapa kamu pelik 
dengan perkara tersebut. Cuba kamu lihat pada nombor . Ianya bermula 
dengan nombor satu bukan? Namun bolehkah kamu terangkan kepada aku 
apakah nombor yang terakhir di dalam senarai nombor?”
 
 Terkelu kelompok Atheis ini untuk memberikan jawapan. Tentu sekali nombor tiada kesudahannya.
 
 Al-Imam tersenyum melihat kelompok Atheis ini terkebil-kebil tidak 
mampu memberikan jawapan. Kemudian Beliau menyambung bicaranya : “ Nah ,
 kamu sendiri tidak mampu untuk menerangkan kepadaku apakah nombor 
terakhir bukan? Jawapannya sudah tersedia di hadapan mata kepala kamu”
 
 Soalan Kelapan
 
 “ Kami ingin bertanya lagi, bagaimana mungkin seseorang di dalam syurga
 menurut Nabi kamu tidak akan kencing dan berak. Sedangkan mereka juga 
makan dan minum? Ini adalah perkara yang tidak masuk akal”
 
 
Al-Imam Abu Hanifah tenang membetulkan kedudukannya. Lalu beliau 
menjawab : “ Aku dan kamu sebelumnya pernah berada di dalam perut ibu 
sebelum dilahirkan bukan? Sembilan bulan di dalam perut ibu, kita juga 
makan daripada hasil darah ibu kita. Persoalanku, adakah kamu buang air 
kecil dan besar di dalam perut ibumu? Sedangkan kamu juga makan di 
dalamnya?”
 
 Sekali lagi kelompok ini terdiam membisu seribu 
bahasa. Padat sekali jawapan anak muda ini. Akhirnya mereka mengakui 
bahawa tiada lagi persoalan yang ingin ditanyakan malah kesemuanya telah
 dipatahkan oleh al-Imam Abu Hanifah dengan penuh berhikmah.
 
 
Baghdad kembali berseri selepas peristiwa tersebut. Anak muda itu 
semakin dikenali malah terus menerus namanya disebut orang sehinggalah 
ke hari ini. Walau sudah hampir ribuan tahun beliau meninggalkan kita. 
Namun namanya disebut orang seolah-olah beliau masih hidup di sisi kita.
 Al-Fatihah buat al-Imam al-A’dzam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit 
radhiyallahu anhu serta kepada seluruh gurunya dan kesemua muslimin dan 
muslimat sama ada yang amsih hidup atau yang telah wafat. Al-Fatihah.
 *******
 
 Ada juga kisah yang saya dengar bahawa soalan terakhir yang ditanyakan 
oleh kelompok tersebut kepada Sang Imam bilamana mereka telah mati kutu 
dan sudah terlampau malu ialah berkenaan : “Jika kamu terlalu bijak , 
apakah yang dilakukan oleh Tuhanmu sekarang?”
 
 Maka al-Imam menjawab dengan tenang.
 
 “ Sebelum aku memberikan jawapan kepadamu, eloklah kiranya kita 
bertukar tempat. Ini kerana kamu berada pada tempat yang tinggi sedang 
aku berada di bawah.Jawapan hanya boleh diberikan bilamana aku berada di
 atas mengambil alih tempatmu”
 
 Athies itu lalu bersetuju dengan
 cadangan al-Imam tersebut. Lalu mereka bertukar tempat. Al-Imam naik ke
 atas, manakala sang Atheis turun ke bawah.
 
 Bilamana al-Imam 
sudah berada di atas . Terus beliau menjawab : “ Kamu bertanya sebentar 
tadi apakah yang Tuhanku lakukan sekarang bukan? Jawapannya ialah, 
Tuhanku sedang meninggikan yang Haq (dengan menaikkan al-Imam ke atas ) 
dan menurunkan yang Batil (dengan menurunkan Atheis tersebut ke bawah) 
 
 -qarl muhd-
 
 
 
  
 
 
 
  
0 comments:
Post a Comment