Maksud
Tarawih dari bahasa ialah berasal dari perkataan tarwihah yang bermaksud satu
kali istirehat. Solat Tarawih pada istilah ialah solat sunat dengan rasa senang
dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isyak. Biasanya duduk berehat setelah
mengerjakan empat rakaat solat sunat Tarawih, sebelum disambung semula.
Hukum Solat
Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam
lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurna bagi
ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang mengerjakan
ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan Solat Tarawih pada malamnya, seolah-olah
menjadi tawar dan hambar; berjaya tetapi tidak cemerlang. Sesungguhnya
sangatlah ruginya mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak melengkapkannya
dengan solat Sunat Tarawih.
Kelebihan yang
paling besar dikurniakan Allah swt kepada orang yang mengerjakan solat Tarawih.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang ertinya:
“Sesiapa yang
mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh
keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah
lalu.” (Hadis
riwayat Bukhari)
Sejarah Solat
Tarawih ialah bermulanya di Masjid Nabawi, ketika mana malam pertama Ramadhan
Nabi Muhammad saw mengerjakan Solat Tarawih dan diikuti oleh sahabatnya yang
berada di masjid tersebut. Malam kedua Nabi Muhammad saw mengerjakan lagi Solat
Tarawih dan diikuti lebih ramai lagi para sahabatnya. Pada malam ketiga lebih
ramai lagi para sahabatnya menunggu Nabi Muhammad saw untuk mengerjakan Solat
Tarawih, tetapi Nabi Muhammad saw tidak hadir pada malam tersebut. Pada
keesokkan harinya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah akan hal tersebut.
Rasulullah menjawab kuatir Solat Tarawih tersebut diwajibkan. Peristiwa ini
berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah ra bermaksud :
"Pada
suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti
solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para
sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam
ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk
solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa
pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali
aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas
kamu." (Riwayat
Muslim)
Rakaat Solat
Tarawih
Ulamak dari
empat mazhab bersepakat bahawa Solat Tarawih mempunyai 20 rakaat tidak termasuk
dengan witir. Hujah ini berdasarkan kepada :
- Pada
zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan Solat Tarawih dalam
bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.
- Hadith
riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' . Yazid bin Rauman
berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai
mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 23 rakaat.( 20 rakaat Tarawih dan 3
Rakaat Witir)
Pendapat dari
ulamak muktabar Tentang Rakaat solat Sunat Tarawih ialah :
- Syeikh
Al-Dardir dalam kitabnya Aqrabul Masalik'ala Mazhab Al-Imam Malik
mengatakan bahawa : "Bahawa Solat Tarawih itu 20 rakaat
dilaksanakan selepas solat Isyak dan salam setiap dua rakaat selain
witir.Solat Tarawih itu sunat dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh
dengan jamaah yang mendirikan Solat Tarawih. akan tetapi jika masjid
kosong daripada Solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan
berjama'ah."
- Imam
Syafii dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa :“Solat Tarawih itu
berjumlah 20 rakaat berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar
al-Khattab. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar
adanya daripada Ubai bin Kaab bahawa beliau Solat Tarawih dengan 20 rakaat
bersama umat Islam tanpa ada perselisihan pendapat daripada para
sahabat."
- Ibnu
Rusyd dalam kitab Bidayah al-Mujtahid berkata: "Imam Malik
dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafii dan Imam
Ahmad memilih 20 rakaat selain witir."
- Imam
Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa Solat
Tarawih berjumlah 20 rakaat dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri
daripada lima tarwihat (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat
rakaat dengan terdiri dua salam."
Jelas
daripada semua pendapat ulamak di atas mengatakan bahawa Solat Tarawih
mengandungi 20 rakaat. Hal ini tidak menjadi masalah kalau ada orang yang tidak
mampu mengerjakan 20 hanya mengerjakan 8 rakaat. Dalam hal ini juga tidak perlu
dipertikaikan dan tidak perlu berbalah atas alasan Rasulullah tidak
melaksanakan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di masjid. Ini semua hanya masalah
furuk sahaja dan tiada dalil yang mengaharamkan atau mewajibkan perbuatan
tersebut. Bergantung kepada kemampuan semua orang, jika mampu laksanakan 20
rakaat, maka lakukanlah 20 rakaat, kalau tidak mampu cukup hanya dengan 8
rakaat sahaja.
0 comments:
Post a Comment